Jenayah siber semakin menjadi-jadi hari ini terutama di Malaysia. Jenayah siber secara umumnya bermaksud penyalahgunaan etika penggunaan siber yang boleh memberi ancaman kepada pihak lain (maksud ni aku terjemah ikut kefahaman aku)...

Laporan jumlah insiden meliputi semua jenis jenayah siber yang dirujuk kepada CyberSecurity Malaysia menunjukkan peningkatan berlipat ganda dari tahun 2009 hingga 2010 iaitu 3,566 kes kepada 8,090 kes.

Manakala statistik terbaru Laporan Jenayah Siber Norton 2011 menunjukkan 14 orang menjadi mangsa jenayah siber bagi setiap saat di seluruh dunia.

Kenyataan ini jelas menunjukkan keselamatan siber semakin membimbangkan dan sesiapa saja boleh menjadi mangsa bagi pelbagai jenayah siber.

Jumlah sebenar insiden dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 dari Januari hingga Ogos ini ialah 10,406 kes manakala lebih 5.15 juta kes yang dikesan Sistem Amaran Awal Siber (CEWS) meliputi penipuan, pencerobohan dan program berniat jahat.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Lt Kol (B) Prof Datuk Husin Jazri berkata, bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, semua kategori membabitkan insiden keselamatan sekuriti mencatatkan peningkatan ketara, 

 “Kes membabitkan penipuan Internet mendahului senarai diikuti kes membabitkan ‘spam’, pencerobohan maklumat dan lain-lain,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Norton 2012, di sini.

Berdasarkan laporan CyberSecurity Malaysia, 3757 kes jenayah siber membabitkan penipuan Internet diterima terus meningkat dan daripada jumlah itu, kes ‘phishing’ adalah yang paling tinggi dengan 2,144 aduan diikuti penipuan maklumat atas talian sebanyak 774 kes, 301 kes membabitkan ‘Nigerian Scam’ dan selebihnya lain-lain penipuan.

Menurut Husin, CyberSecurity Malaysia telah membangunkan perisian ‘DontPhishMe’ yang bermatlamat menyediakan perlindungan kepada pengguna di negara ini dan perisian ini boleh dimuat turun secara percuma.

Inilah dunia tanpa sempadan...

Sumber : Metro