Kulit merupakan organ manusia yang paling besar. Kulit manusia juga berubah mengikut usia. Semakin meningkat usia, kulit mulai ada garis, kedut, kering dan bertompok. 

1.        Cahaya Matahari

Sinar matahari merupakan punca utama kulit menua. Cuba anda bayangkan antara kulit anda  yang selalu terdedah dengan yang sentiasa tertutup? Anda akan lihat perbezaannya. Oleh itu, elakkan  berjemur di bawah mentari terutama pada waktu paling terik antara 11 pagi hingga 4 petang. Ramai yang berfikir dengan memakai payung atau topi dapat melindungi kulit daripada matahari. Walhal langkah ini tidak memadai kerana cahaya matahari melantun balik pada permukaan yang terang seperti air, kaca atau cermin. Lantunan balik sinaran UV ini sebenarnya lebih berbahaya kerana ia terus menembusi ke dalam hingga ke lapisan dermis kulit, memecahkan kolagen dan merosakkan kulit. Manakala sinar UVB menjejaskan lapisan epidermis yang menyebabkan selaran kulit dan kulit terbakar. Kita harus sentiasa beringat, bukan sahaja cahaya matahri yang merbahaya malah objek-objek di sekeliling kia seperti lampu, cahaya komputer juga berbahaya. Oleh itu, pentingnya kita sentiasa memastikan kulit terlindung dengan tabir suria (sunblock).
 

2.        Asap Rokok

Ketahuilah anda bahawa asap rokok juga menjemput kedut. Semakin lama anda merokok atau terdedah kepada asap rokok semakin banyaklah keduat akan bertapak di wajah anda. Kajian menunjukkan terdedah kepada asap rokok mengosongkan vitamin C dalam badan, iaitu bahan utama untuk mengekalkan kelembapan dan kegebuan kulit.

3.        Kurang Senaman

Gaya hidup yang hanya banyak duduk boleh menyumbang kepada kulit tua, kerana senaman membantu menegangkan otot-otot dan menggerakkan perjalanan darah. Hasil selalu bersenama akan jelas ketara pada muka, antaranya muka tampak sihat, segar dan kemerahan.

4.        Cuaca Sejuk

Angin sejuk dan suhu rendah menyumbang kepada penuaan kulit, kerana ia membuatkan kulit kering. Oleh itu, jika anda ke negara sejuk, pastikan anda selalu menggunakan pelembap pada wajah. Malah anda juga perlu memakai pelembap ketika di dalam rumah lantaran alat pemanas mengeringkan kulit. Begitu juga dengan alat penghawa dingin. Tahukah anda bahawa bilik berpenghawa dingin boleh mengeringkan kulit lantas mempercepatkan tanda-tanda kulit tua?

5.        Alkohol

Alkohol mengembangkan saluran darah kecil dalam kulit lantas meningkatkan pengaliran darah pada permukaan kulit. Lama kelamaan, saluran darah rosak kekal menyebabkan kulit tampak merah dan permukaan kulit jelas Nampak salur darah pecah. Semua ini mempercepatkan kulit menua.

6.        Stress

Stress atau risau menyebabkan tabiat dahi berkerut. Lama kelamaan otot menjadi terbiasa dengan pergerakan demikian. Bagi mengurangkan penuaan akibat stress, kenalpasti tahap stress anda dan sentiasalah tersenyum.

7.        Kurang Tidur

Kurang tidur membuatkan seseorang tampak letih dan lesu. Muka tanda pertama menunjukkan anda kurang tidur ; seperti gegelung hitam sekeliling mata, kantung mata dan kulit kendur. Kekurangan tidur juda faktor utama hilang ingatan dan rasa murung termasuk hilang minat bekerja dan berfikiran negatif. Kajian menunjukkan kebanyakkan orang dewasa berfungsi dengan lebih baik apabila mendapat 8-9 jam tidur. Jesteru, kurangkan pengambilan kafein pada siang hari (elakkan langsung pada waktu petang), elakkan makan sekurang-kurangnya 2 jam sebelum tidur dan kekalkan rutin tidur termasuk waktu tidur konsisten setiap malam.